KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bintang muda berbasikal trek wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meletakkan sasaran memecahkan rekod kebangsaan acara 500 meter (m) ujian masa, pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual membuka tirai pada 28 Julai ini.
Atlet berusia 19 tahun itu berkata sasarannya untuk mencatatkan masa di bawah 35 saat, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan itu yang dipegang bekas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa.
Fatehah mencipta rekod kebangsaan itu dengan membuat catatan 34.542 saat (s) pada penampilannya di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Jelas Nurul Izzah, ia merupakan impian besarnya di temasya berkenaan selepas merekodkan catatan masa 34.668s pada Kejohanan Trek Kebangsaan pada Disember tahun lalu.
“Saya harap pada temasya itu (Sukan Komanwel) saya dapat mencapainya (rekod kebangsaan). Saya tidak menyasarkan pingat pada temasya itu, jadi jika dapat memecahkan rekod kebangsaan sudah memadai,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu memaklumkan, dia kini sedang giat melakukan latihan sepenuh masanya di Velodrom Nasional, Nilai di bawah kendalian jurulatih berbasikal trek negara John Beasley.
“Sekarang ini saya kerap berulang-alik ke sana, di mana akan ada sesi di Velodrom untuk memperbaiki selain memantapkan teknik kayuhan di bawah Beasley,” katanya.
Nurul Izzah yang diberi jolokan 'Azizulhasni Awang versi Wanita', dalam masa sama menzahirkan tekad dan kesediaannya membawa harapan negara untuk mempamerkan kayuhan cemerlang pada temasya terbabit.
“Sedikit gementar namun ia merupakan salah satu pembakar semangat buat saya kerana semua orang dah meletakkan harapan terhadap saya,” katanya.
Pada 19 Jun lepas, Nurul Izzah mencatat nama sebagai pelumba wanita Malaysia pertama memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi apabila mengungguli acara 500m ujian masa dengan catatan masa 35.499s.
Beliau turut menambah koleksi pingat peribadinya apabila meraih pingat gangsa pada acara keirin wanita dalam kejohanan di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial