AM

Filem Mat Kilau cecah RM47 juta selepas 11 hari tayangan, bakal cipta rekod pecah panggung

04/07/2022 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Filem biografi epik, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang telah mencetuskan fenomena luar biasa telah berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM47 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.

Pengarahnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof menerusi hantarannya di Instagram berkata jumlah kutipan itu bakal mengatasi rekod pecah panggung filem Munafik 2  yang juga karya arahannya pada tahun 2018.

“Mat Kilau adalah filem terpantas mencecah RM47 juta hanya dalam 11 hari. Bakal mengatasi rekod pecah panggung Munafik 2 (RM48 juta). Hilang kata...limpah kurnia dari-Nya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem untuk bangsa dan negara,” katanya.

Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu juga berkata filem itu juga masih menduduki carta filem nombor satu di Malaysia dan berjaya mengetepikan filem Hollywood untuk minggu kedua.

Sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lepas, filem yang dinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu telah berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial selain ia telah membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir ke pawagan.

Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron,  A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan