EKONOMI

Untung bersih S1 AEON Credit turun sedikit kepada RM163.06 juta

04/07/2022 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai  (Bernama) -- AEON Credit Service Bhd mencatatkan penurunan kecil dalam keuntungan bersih kepada RM163.06 juta pada suku pertama (S1) berakhir 31 Mei, 2022 berbanding RM163.09 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hasil turun 5.0 peratus kepada RM390.57 juta daripada RM410.96 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan penurunan purata terimaan pembiayaan berbanding S1 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, AEON Credit berkata terimaan pembiayaan kasar pada S1 mencatatkan sedikit penurunan sebanyak RM61.87 juta kepada RM10.00 bilion berbanding RM10.06 bilion sebelum ini.

"Pertumbuhan yang lebih perlahan pada suku tersebut disebabkan oleh permintaan pasaran yang lebih rendah hasil daripada program pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan gangguan rantaian bekalan dalam pembiayaan kenderaan," katanya.

Mengenai prospek, ia berkata kumpulan itu optimistik dengan berhati-hati bahawa hasil perniagaan akhirnya akan meningkat ke tahap prapandemik.

“Walau bagaimanapun, kumpulan akan terus memantau dan menilai risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaannya, dengan perhatian proaktif tertumpu pada peningkatan kualiti aset, pengurusan kos berhemat, dan peningkatan kecekapan kewangan dan operasi dengan memanfaatkan asas perniagaan yang positif,” katanya.

AEON Credit menambah ia komited untuk membina agenda pertumbuhan dan kemampanan perniagaannya dan akan terus meningkatkan keupayaan teknologi maklumat bagi memacu pendigitalan operasinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan