EKONOMI

Oleon Port Klang beli tambahan tanah di SHH pada RM30.7 juta

05/07/2022 06:06 PM

SUBANG, 5 Julai (Bernama) -- Oleon Port Klang Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual dan beli dengan Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) untuk membeli tambahan tanah berukuran kira-kira 4.07 hektar di Hab Halal Selangor (SHH) yang terletak di Pulau Indah, Selangor pada RM30.7 juta.

CSSB merupakan pemaju SHH.

Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Mohammad Razif Abdul Wahab berkata Oleon Port Klang sedang memperluas kemudahan pembuatannya di SHH untuk memenuhi permintaan oleokimia global.

“Kemudahan terbaru itu dijangka bernilai RM200 juta dan akan menjana lebih 50 peluang pekerjaan baharu untuk masyarakat setempat, khususnya dalam segmen kemahiran pakar dan tinggi,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, pada Selasa.

Pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Duta Belgium di Malaysia, Pascal Gregoire dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kassim.

Mohammad Razif berkata Oleon Port Klang merupakan antara pelabur awal dan terbesar sejak 2012 dengan ia melabur hampir RM230 juta dalam SHH, mewujudkan lebih 130 peluang pekerjaan.

Beliau berkata jalinan dengan Oleon menandakan titik perubahan penting dalam kerjasama Selangor sejak sekian lama dengan syarikat dan pelabur multinasional Belgium itu.

Setakat ini, syarikat-syarikat Belgium telah melabur dalam 15 projek bernilai RM500 juta di Selangor dan mewujudkan 1,179 peluang pekerjaan, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan