AM

Syiling peringatan, setem kenang-kenangan sempena Jubli Emas Bandar Raya KL dilancar

05/07/2022 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pos Malaysia mengeluarkan syiling peringatan, setem kenang-kenangan serta sampul surat hari pertama sempena memperingati sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur. 

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata syiling peringatan itu akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu syiling peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dengan nilai muka RM10 dan syiling peringatan emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) dengan nilai muka RM1. 

"Kedua-dua jenis syilling ini boleh didapati di BNM namun tarikh mula penjualannya akan diumumkan mereka (BNM) pada masa terdekat.

"Bagi setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama pula, ia akan dijual kepada orang ramai pada harga RM38 setiap set mulai 7 Julai ini di Pejabat Pos dan Biro Filateli Pos Malaysia," katanya ketika berucap melancarkan Syiling Peringatan dan Setem Kenang-Kenangan sempena Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Shahidan berkata syiling peringatan itu merupakan pengeluaran edisi yang ketiga selepas 1972 dan 1990.

"Pada 1972, syiling peringatan, setem kenang-kenangan serta sampul surat hari pertama dikeluarkan sempena pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya manakala pada 1990, ia dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun ke-100 DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan," katanya.

Shahidan berharap pengeluaran koleksi itu dapat dijadikan tanda kenangan yang cukup bermakna, sekali gus menjadi gambaran kepada kepesatan pembangunan yang dilalui Kuala Lumpur sepanjang lima dekad.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan