BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 SUKAN

Sukan Komanwel: Kami tetap lakukan terbaik - Pandelela

05/07/2022 10:40 PM

SEPANG, 5 Julai (Bernama) -- Biarpun tidak diletakkan sasaran pingat emas, ia bukan alasan buat skuad terjun negara untuk tidak mempamerkan persembahan terbaik sekali gus membawa pulang sebarang pingat di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England bermula 28 Julai ini.

Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong berkata beliau tidak gusar dengan 'keciciran' sasaran pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke atas skuad terjun negara pada temasya sukan tersebut, seperti diumumkan bulan lepas.

"Kami tetap mengharapkan di sebalik cabaran yang dihadapi ia sesuatu perkara yang positif dan seluruh pasukan juga berfikiran begitu.

"Apa pun kami mengharapkan sokongan diperoleh pelbagai pihak seperti masseuse (tukang urut) , fisioterapi termasuk jurulatih untuk bersama-sama di sana nanti dalam usaha menghasilkan keputusan yang baik dan itu yang kami perlukan," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau yang pulang dari menyertai Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary berkata skuad terjun negara berada dalam keadaan baik untuk bersaing pada temasya di Birmingham.

"Melihat kepada barisan penerjun muda dalam skuad, mereka menunjukkan peningkatan pada Kejohanan Dunia di Budapest, jadi saya mengharapkan ia akan diteruskan pada Sukan Komanwel nanti," katanya.

Sementara itu, pembantu jurulatih terjun kebangsaan Datuk Leong Mun Yee berkata skuad terjun negara mempamerkan banyak peningkatan di Kejohanan Dunia dengan membawa pulang dua pingat gangsa menerusi Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri.

Pada kejohanan itu, dua pingat gangsa diperoleh dalam acara 10meter (m) platform wanita melalui Pandelela dan 10m platform seirama wanita menerusi gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah.

'’Kita tidak menyasarkan terlalu tinggi pada kejohanan dunia, namun kita memperoleh dua gangsa jadi ia satu pencapaian yang baik...kejohanan (di Budapest) ini lebih kepada kita mahu melihat siapa pencabar di Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Mun Yee berkata pihaknya meletakkan sasaran dua pingat di temasya itu biarpun MOM tidak meletakkan sebarang sasaran emas ke atas skuad terjun.

Sebelum ini, MOM memaklumkan akan ada perubahan sasaran pingat emas negara pada Sukan Komanwel 2022 susulan ketiadaan penyertaan dua atlet sandaran, Lee Zii Jia (badminton) dan S Sivasangari (skuasy).

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya masih menunggu tarikh mesyuarat bagi menentukan sasaran baharu susulan penarikan diri jaguh perseorangan lelaki negara Zii Jia dan pemain skuasy wanita negara Sivasangari yang tidak dapat beraksi berikutan kemalangan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan