DUNIA

Polis tahan wartawan terkenal Pakistan

06/07/2022 04:31 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 6 Julai (Bernama) -- Polis menahan wartawan terkenal Pakistan, Imran Riaz Khan, pada Selasa malam, sehari selepas beliau memberikan ucapan berbaur hasutan mengenai 'perubahan regim’ di Pakistan.

Polis Punjab menahan Imran berdekatan plaza tol lebuhraya ketika penyampai televisyen itu dalam perjalanan ke Islamabad, menurut hantaran video di sosial media.

Peguamnya Mian Ali Ashfaq memberitahu media Pakistan wartawan itu ditahan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya kerana mengkhianat.

Imran Riaz yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan baru-baru ini dalam satu seminar di Islamabad membuat kenyataan keras menentang rampasan kuasa seperti yang berlaku selepas parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) digulingkan dalam undi tidak percaya parlimen pada April.

Ramai di Pakistan melihat penahanan Imran Riaz sebagai sebahagian daripada tindakan keras yang lebih meluas terhadap media dan suara yang menentang.

Penahanan Imran Riaz mendapat kecaman meluas oleh wartawan dan pemimpin PTI dalam catatan media sosial mereka.

Wartawan televisyen Shiffa Yousafzai berkata penahanan itu melanggar perintah mahkamah yang memberi perlindungan kepada Imran Riaz daripada penahanan polis.

Bekas Menteri Hak Asasi Manusia Pakistan, Shireen Mazari mempersoalkan sama ada terdapat "undang-undang tentera tersembunyi" di negara itu dan pendapat yang bertentangan tidak dibenarkan.

"Gangguan, FIR (laporan maklumat pertama), dan kini penahanan wartawan Imran Riaz Khan, amat membimbangkan. Adakah hak kebebasan bersuara kita masih ada?"soal wartawan Sana Jamal dalam hantaran di Twitter.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan