EKONOMI

Celcom pertingkat kualiti rangkaian selaras aspirasi JENDELA

07/07/2022 09:34 AM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Celcom Axiata Bhd (Celcom) akan terus mempertingkat kualiti liputan dan pengalaman rangkaian 4G selaras aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Wakil Kumpulan Strategi Celcom Nor Azman Sulaiman berkata syarikat telekomunikasi itu komited meluaskan liputan, mengoptimumkan rangkaian dan menambah baik kualiti rangkaian sejak beroperasi 34 tahun lepas. 

Katanya, selain itu Celcom juga sentiasa memperkenalkan teknologi, servis dan ciri-ciri baharu dalam perkhidmatannya untuk mengukuhkan kualiti pengalaman jalur lebar kepada pengguna.

“Misi kita untuk menambah baik rangkaian Celcom dari dulu sampai sekarang (dengan) meluaskan liputan itu adalah selaras dengan matlamat JENDELA itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada Program Internet dan Anda yang disiarkan menerusi Facebook Bernama malam tadi.

Mengenai cabaran untuk perkhidmatan panggilan menerusi ‘Voice over Long-Term Evolution (VoLTE)’, Nor Azman berkata pengguna tidak dapat menggunakan perkhidmatan panggilan itu tanpa liputan 4G.

Katanya, oleh itu matlamat JENDELA dengan menambah baik liputan 4G membolehkan pelanggan menggunakan perkhidmatan data dan membuat panggilan menerusi VoLTE. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan