EKONOMI

14 bandar lagi laksana inisiatif GCAP - Mustapa

08/07/2022 07:05 PM

LANGKAWI, 8 Julai (Bernama) -- Empat belas bandar di negara ini akan melaksanakan inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAP) bagi tempoh antara tahun ini hingga 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tiga bandar dipilih untuk pelaksanaan inisiatif itu pada tahun ini iaitu Langkawi, Kota Bharu dan Kuching.

Bandar-bandar lain yang dipilih untuk melaksanakan GCAP secara berperingkat termasuk Kangar, Kulim, Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh, Manjung, Teluk Intan, Seremban, Labuan, Pulau Pinang dan Seberang Perai.

"Sebelum ini kami ada dua bandar yang sudah melaksanakan GCAP iaitu Melaka pada 2014 dan Kota Kinabalu pada 2019. Jadi dua sudah ada dan tambah 14 menjadikan 16 bandar. 14 bandar ini dalam tempoh 2021 hingga 2025.

"Jadi hari ini kami ada satu acara untuk memulakan rancangan kami. Kita perlu memastikan bahawa bandar-bandar kita ini adalah lestari, sesuai didiami, berdaya saing dan juga berdaya tahan, itu antara objektifnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle (IMT GT) & Brunei Darussalam Indonesia Malaysia Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) Green City Action Plan di sini hari ini.

Menurut Mustapa Malaysia akan bekerjasama dan mendapatkan kepakaran badan antarabangsa untuk menjayakan GCAP di bandar-bandar di negara ini iaitu Asian Development Bank (ADB), ICLEI - Local Governments for Sustainability (ICLEI).

Mengulas mengenai pemilihan Langkawi untuk pelaksanaan GCAP, beliau berkata ia bertepatan dengan statusnya sebagai pulau pelancongan selain kaya dengan khazanah alam yang perlu dilindungi.

"Untuk memastikan Langkawi terus berjaya adalah penting untuk dilindungi alam sekitarnya,  dipertahankan apa yang ada di sini dan masyarakat juga perlu dididik dan kami berbanggalah dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh Lembaga Pembangunan Langkawi," katanya.

GCAP adalah satu siri cadangan mengenai perancangan bandar yang mempan untuk diterima pakai oleh kerajaan tempatan dalam menangani akibat pembandaran yang mendesak.

Unit Perancang Ekonomi, ADB, ICLEI, Majlis Perniagaan Bersama (JBC) Malaysia melalui pelancaran rasmi IMT-GT dan BIMP-EAGA – Pelan Tindakan Bandar Hijau dengan tema ‘Membina Kembali Lebih Baik’ mengumpulkan 200 perwakilan tempatan dan antarabangsa pihak berkuasa dan agensi bertukar-tukar idea dan pengalaman ke arah Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan