JENAYAH & MAHKAMAH

28 lelaki didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 08 GST’

19/07/2022 05:28 PM

KUALA KUBU BHARU, 19 Julai (Bernama) -- Seramai 28 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng 08 GST.’

Mereka ialah P.Thanasegaran, 46, K.Saravanak Kumar, 36, S.Selvamogan, 44, N.Yogeswaran, 41, N.Ganesan, 43, R.Raja Kumar, 39, Aziz Latip Hasannar, 42, N.Chandran, 37, B.Vinot, 27, K.Selvam, 38, dan P.Tachana Moorthy, 36.

Turut didakwa S.Vekneswaran, 36, M.Saravanan, 40, V.Elengo Van, 36, V.Thinagaran, 28, M.Eswaran, 33, S.Navin ,29, S.Kali Muthu, 44, B.Moganraj, 30, A.Poobalan, 29, N.Vijendran, 37, K.Punitharajan, 26, R.Devandran, 35, R.Vengateswaran, 26, Tan Eng Sun, 22, P.Sathteswaran, 23, G.Gananathan, 23, dan H.Arvind, 24.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kerana mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Tin Mine, Kalumpang, Hulu Selangor di sini antara Januari 2019 hingga 23 Jun lepas mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Ahmad Shafiq Hasim, Khairul Azreem Mamat dan Yong Ching Hong manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent, Datuk R.Thinalan, Datuk David Gurupatham, JM Mark, K.Shalvin, Mohd Hanif Hassan, P.S. Doal dan Mujahidah Almukimah Fakhfurazi. 

Pendakwaan tidak menawarkan jaminan manakala pembelaan memohon agar anak guam mereka dilepaskan dengan ikat jamin atas alasan mempunyai tanggungan terhadap keluarga selain berdepan masalah kesihatan yang memerlukan rawatan di hospital.

Mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kesemua tertuduh dibawa ke mahkamah pada 7.45 pagi dengan menaiki tiga trak polis manakala ahli keluarga mereka yang berada di pekarangan mahkamah seawal 7.30 pagi dikawal rapi oleh pasukan polis bagi tujuan keselamatan.

Selepas prosiding mahkamah berakhir, ada ahli keluarga dilihat menangis sambil memanggil-manggil nama tertuduh apabila mereka dibawa menaiki trak polis untuk dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan