KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Sebarang pengeksportan minyak masak dalam bentuk polibeg dihentikan berkuat kuasa serta merta, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata langkah tersebut bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan dengan minyak masak bersubsidi yang turut dijual dalam bentuk polibeg.
“Apabila ada pengeksport yang mengeksport minyak masak dalam bentuk yang hampir serupa, ia menimbulkan masalah kepada penguatkuasa.
“Maka, tidak akan dibenarkan lagi sebarang eksport minyak masak dalam bentuk polibeg...mesti dieksport dalam bentuk lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Annuar berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berunding dengan pihak-pihak berkaitan, terutamanya yang mengeluarkan lesen eksport minyak masak dalam bentuk polibeg.
Berkenaan protes yang menuntut kerajaan menangani kenaikan harga barang pada Sabtu lepas seperti dilaporkan media, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata sebahagian besar perkara yang dituntut itu sebenarnya telah dilaksanakan kerajaan.
Katanya memorandum berkenaan tidak disampaikan kepada pihak kerajaan dan beliau menerima laporan bahawa kumpulan terbabit menyerahkan memorandum itu, kepada pihak pembangkang.
“Daripada maklumat yang kita terima, ada empat, lima perkara yang disebut tentang apa yang mereka hasratkan, saya tidak guna istilah apa yang mereka tuntut, (tetapi) apa yang mereka hasratkan.
“Saya ambil kira itu (hasrat kumpulan berkenaan) sebagai sesuatu yang mempunyai niat baik dan kita baca satu per satu lima perkara itu, jadi perkara-perkara yang sebahagian besarnya saya dapati perkara yang sudahpun dilakukan (kerajaan), tetapi mungkin tidak ada dalam pengetahuan mereka,” katanya.
Justeru, Annuar berkata pihaknya akan membuat libat urus secara terus dengan pemimpin berkenaan untuk berkongsi maklumat serta merapatkan jurang pemahaman tentang isu inflasi, selain boleh berkongsi pendapat.
Selain itu, Annuar memaklumkan matlamat pasukan khas itu juga adalah mengekalkan Malaysia dalam kalangan negara ASEAN, sebagai negara yang dapat menyediakan barang keperluan asas pada harga paling rendah dan mengekang kenaikan inflasi pada tahap yang terkawal.
“Kita bukan nak kata kita boleh menghapuskan inflasi atau hentikan inflasi sepenuhnya, itu orang kata memberi janji sesuatu yang tidak mungkin boleh kita lakukan sebab saya kata tadi, ada inflasi kerana faktor luar (di luar kawalan kerajaan),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial