IPOH, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang saksi yang tinggal berhampiran lokasi kejadian pesawat terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di sini malam ini terkejut apabila mendengar bunyi aneh sebelum melihat sebuah pesawat terbang pada paras rendah.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 41, berkata dia yang baru selesai mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran melihat pesawat itu melanggar tiang lampu berhampiran kunci air.
“Pesawat tersebut dilihat terbang pada paras rendah lalu terhempas melanggar tiang tersebut. Susulan daripada itu saya membuat pusingan U dan pergi melihat keadaan pesawat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian..
Sementara itu, penduduk sebuah rumah berhampiran yang hanya dikenali sebagai Haizad berusia 22 tahun berkata dia terdengar bunyi hentaman yang kuat ketika sedang berada di rumah ketika kejadian sekitar 7 malam.
"Saya tidak terus keluar ke rumah kerana menyangkakan kemalangan biasa sehinggalah kawan saya memaklumkan melalui WhatsApp berkenaan ada pesawat terhempas, selepas melihat gambar barulah sedar kejadian sangat dekat dengan rumah," katanya.
Seorang jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala seorang lagi Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera dalam nahas itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial