TAWARAN DIPLOMA, SIJIL IPTA DI POLITEKNIK, KOLEJ KOMUNITI BERI PELUANG PELAJAR KURANG CEMERLANG SPM
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Tawaran program diploma Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan program sijil IPTA di politeknik dan kolej komuniti adalah sebagai usaha mengurangkan keciciran melibatkan pelajar yang kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setara.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata peluang itu bagi memastikan pelajar kurang cemerlang turut mendapat peluang melanjutkan pelajaran menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPKK), program pengajian Diploma IPTA ditawarkan di 36 politeknik, manakala program sijil IPTA terdapat 105 kolej komuniti seluruh negara dalam pelbagai bidang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berhubung usaha kerajaan untuk memastikan pelajar SPM kurang cemerlang dapat melanjutkan pelajaran di IPTA.
-- BERNAMA
1,010 GURU BAHARU KELAHIRAN SARAWAK DITEMPATKAN DI NEGERI ASAL - KPM
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Seramai 1,010 guru baharu lantikan tetap gred DG41 berasal dari Sarawak ditempatkan di negeri itu bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata berikutan masih terdapat kekurangan guru dengan keperluan opsyen di Sarawak, kementerian menempatkan seramai 1,603 guru berasal dari Semenanjung ke sekolah rendah dan menengah di negeri berkenaan bagi tempoh sama.
Jelasnya, penempatan guru baharu adalah berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen dalam sesebuah negeri.
“Sehingga akhir Julai 2022, sebanyak 2,815 kekosongan guru bagi sekolah rendah dan menengah di Sarawak,” katanya menjawab soalan Anyi Ngau (GPS-Baram) berhubung dasar pengisian 90 peratus jawatan guru Sarawak oleh anak tempatan serta jumlah terkini kekosongan guru di negeri itu pada sesi soal jawab.
-- BERNAMA
SHAHIDAN SEDIA JUMPA PAC BERHUBUNG PENGURUSAN MITIGASI BANJIR KL
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya dipanggil berhubung isu pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur.
"Saya bersama kementerian dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan hadir jika dipanggil oleh PAC dan sedia memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi PAC Wong Kah Woh memaklumkan akan memanggil Shahidan, Ketua Setiausaha kementerian itu serta DBKL bagi memberi penjelasan berhubung isu pengurusan mitigasi banjir di ibu negara membabitkan peruntukan bernilai RM329.33 juta, susulan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri Satu, yang dibentangkan di Parlimen.
-- BERNAMA
ANWAR CADANG FASA ENAM PROJEK LCS LIBAT RM571 JUTA DIHENTIKAN
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan fasa seterusnya bagi projek littoral combat ship (LCS) (Fasa Enam) melibatkan RM571 juta dihentikan.
Beliau berkata ini kerana wang berkenaan seharusnya diguna bagi membantu kos sara hidup dan kebajikan bagi golongan berpendapatan rendah serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Saya tuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segerakan siasatan ini dan jangan lengahkan," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Ditanya mengenai penubuhan gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata beliau tidak menyokong inisiatif itu dan berpendapat isu pokok dalam menangani masalah negara adalah melalui tadbir urus baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial