BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- FFM Bhd, anak syarikat 80 peratus PPB Group Bhd, telah menerima notis keputusan cadangan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menurut Seksyen 36 Akta Persaingan 2010.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PPB berkata notis itu adalah berdasarkan dakwaan FFM telah terlibat dalam perjanjian dan/atau amalan bersama untuk menetapkan kuantum harga makanan ayam yang melanggar Seksyen 4 Akta tersebut.
“FFM telah menjelaskan bahawa pada ketika ini, keputusan cadangan itu belum muktamad. MyCC dalam kenyataan akhbarnya hari ini menekankan bahawa penemuannya adalah sementara dan tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar undang-undang pada peringkat ini.
“FFM berpendapat bahawa dakwaan pelanggaran adalah tanpa merit. Ia akan mengkaji semula perkara itu dengan penasihat undang-undang luarnya dan memberi maklum balas kepada MyCC dalam masa yang ditetapkan bagi mempertahankan pendiriannya,” katanya.
Sementara itu, MyCC juga telah mengeluarkan notis yang sama kepada Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd (LFM), anak syarikat milik penuh Leong Hup International Bhd, menurut Seksyen 36 Akta Persaingan 2010.
Dalam makluman berasingan, Leong Hup berkata keputusan cadangan adalah berdasarkan dakwaan bahawa LFM telah terlibat dalam perjanjian dan/atau amalan bersama untuk menetapkan kuantum harga makanan ayam yang melanggar Seksyen 4(1) yang dibaca bersama Seksyen 4(2)(a) dan 4(3) Akta tersebut.
“Syarikat ingin menjelaskan bahawa pada ketika ini, keputusan cadangan termasuk penalti kewangan dan arahan yang dicadangkan adalah tidak muktamad.
“Syarikat dan LFM amat percaya dakwaan pelanggaran tersebut adalah tanpa merit dan berhasrat untuk mempertahankannya. Syarikat dan LFM akan menyemak perkara itu dengan penasihat undang-undang luar dan mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh yang ditetapkan serta membuat representasi lisan di hadapan MyCC,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial