AM

Pemasangan pagar di Padang Merbok antara kaedah penyelengaraan - Datuk Bandar

07/08/2022 10:39 AM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pemasangan pagar besi di sekeliling Padang Merbok di sini merupakan  sebahagian daripada kaedah penyelengaraan dan penjagaan padang di kawasan berkenaan bagi memastikan ia sentiasa dalam kondisi terbaik serta boleh digunakan secara optimum.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata penggunaan padang tanpa kawalan dan sistem teratur sebelum ini mengakibatkan kawasan hijau itu sering rosak, sekali gus menelan kos baik pulih dan naik taraf yang tinggi. 

"Dengan pagar itu saya yakin penjagaan padang akan lebih sempurna dan terkawal, dan sesiapa saja boleh membuat booking (tempahan) untuk menggunakan padang. 

"Orang nak masuk pun kita boleh uruskan dengan baik, ada giliran, kalau padang tu rosak kita tutup sekejap, baiki dan selenggara sebelum dibuka balik, saya rasa ia akan lebih terkawal dan terjamin," katanya kepada Bernama malam tadi.

Semalam (6 Ogos), media melaporkan dua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan mempersoal dan meminta penjelasan DBKL berkenaan tindakan mendirikan pagar berstruktur kekal setinggi sekitar lima kaki (1.5 meter) di sekeliling padang itu, dan menyifatkan perkara itu sebagai menghantar isyarat salah kepada warga kota. 

Antara yang dipersoal termasuk pagar berkenaan dilihat menghalang warga kota menggunakan kemudahan awam untuk berekreasi selain menghalang daripada berkumpul sebelum berjalan ke bangunan parlimen bagi menghantar memorandum atau melalui protes.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata orang ramai masih dibenarkan menggunakan padang itu dengan kebenaran secara berjadual dan pendekatan serupa juga pernah dilaksanakan di beberapa kawasan lain bagi tujuan sama. 

Tambahnya padang berkenaan yang juga mengalami isu saliran, masih menjalani kerja-kerja naik taraf dan belum dibuka kepada orang ramai. 

Terdahulu Mahadi merasmikan Majlis Penutup dan Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau DBKL Home Cup 2022 di Stadium Kuala Lumpur. 

Mahadi berkata kejohanan julung kali itu bertujuan menghidupkan aktiviti sukan di kawasan PA dan PR selain menjadi medium penduduk menonjolkan bakat bola sepak untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. 

Katanya program yang bermula 16 Julai lepas itu akan menjadi acara tahunan dan diharap dapat menarik minat golongan muda di kawasan berkenaan ke arah gaya hidup lebih positif. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan