AM

JPJ saman 235 penunggang motosikal dalam Op Lejang

08/08/2022 06:02 PM

BUKIT MERTAJAM, 8 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman atas pelbagai kesalahan terhadap 235 penunggang motosikal menerusi Op Lejang di dua lokasi di sini malam tadi.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan menerusi laman Facebook memaklumkan operasi di Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang itu bermula pada 8 malam dan berakhir empat jam kemudian.

"Sebanyak 675 motosikal diperiksa dan 235 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan antaranya pemandu di bawah umur, tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Turut dikesan adalah kesalahan mengubah suai motosikal seperti menanggalkan brek belakang, mengubah suai swing arm dan ekzos, menggunakan saiz tayar motosikal terlalu kecil, tidak mempamerkan pelekat P, tiada cermin sisi serta mempamerkan nombor pendaftaran fancy (tidak mengikut spesifikasi) dan ekstrem," menurut kenyataan itu.

JPJ Pulau Pinang memaklumkan Op Lejang itu diadakan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Jabatan itu turut mengingatkan pemilik dan penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan serta undang-undang yang dikuatkuasakan selain tidak melibatkan diri dalam aktiviti perlumbaan haram hingga boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan