PULAU INDAH, 10 Ogos (Bernama) -- Hampir 300 lagi anggota bomba terpilih dari tujuh negeri akan dilatih oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menyertai Pasukan Multi-Skill Team (MUST) pada tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata kesemua yang terpilih akan menjalani kursus selama 21 hari dengan pendedahan dalam semua aspek dan situasi baik di udara, darat dan air bagi membantu unit udara JBPM dalam tugas mencari dan menyelamat.
“Di Selangor, 46 orang termasuk dua anggota bomba wanita ditauliahkan setelah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan kita percaya modul-modul dalam kursus ini akan menambah kekuatan mental dan fizikal kepada mereka,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Pasukan MUST JBPM Selangor, di Pantai Aceh hari ini.
Beliau berkata peserta kursus tersebut telah dilatih dan diajar dengan pelbagai ilmu ikhtiar hidup, bekerja dengan pesawat, pengenalpastian risiko, serta teknik-teknik penyelamatan dalam bentuk teori dan pratikal.
Abdul Wahab berkata tujuh lagi kursus yang sama akan diadakan di Pahang, Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak secara berperingkat pada tahun ini dengan pemilihan anggota perlu memenuhi kriteria tertentu.
“Pasukan MUST telah ditubuhkan di setiap negeri dan pasukan ini berfungsi bagi melengkapkan operasi JBPM terutamanya apabila unit udara bomba memerlukan tempat pendaratan khususnya dalam hutan selain terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat lain,” katanya.
Abdul Wahab berkata sejak ditubuhkan pada 1998 hingga hari ini, MUST mempunyai 516 pegawai yang cekap dan terlatih di seluruh negara selain turut berpengalaman menyertai misi mencari dan menyelamat di luar negara termasuk di Indonesia dan Filipina.
“Pasukan MUST ini melengkapkan pakej operasi misi mencari dan menyelamat JBPM yang melibatkan pelbagai pasukan seperti Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), unit udara serta air dan unit K9 untuk pelbagai situasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial