Oleh Nurul Hanis Izmir
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Pasaran buruh Malaysia bertambah baik secara konsisten sejak separuh kedua 2021 dan momentum itu dijangka berterusan, memberikan sokongan bagi mencapai 6.1 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini dan lima peratus pada 2023, kata S&P Global Ratings.
Ahli ekonominya Vishrut Rana berkata pelancongan antarabangsa yang semakin pulih, berikutan pembukaan semula sempadan, telah menyokong aktiviti ekonomi Malaysia manakala permintaan luar menyokong pertumbuhan setakat tahun ini.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran mengenai kelembapan dalam pertumbuhan permintaan luar apabila ekonomi global semakin perlahan pada separuh kedua 2022.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK yang lebih rendah pada 2023 berbanding 2022 kerana jumlah pertumbuhan 2022 dirangsang oleh kesan asas akibat daripada aktiviti yang lemah pada 2021. Tetapi secara keseluruhan, kami masih menjangkakan momentum pertumbuhan yang stabil sepanjang 2023 disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang semakin pulih,” katanya kepada Bernama.
Vishrut menyatakan kadar pertumbuhan purata negara antara 2015 hingga 2019 ialah 4.9 peratus.
“Pendorong utama untuk pertumbuhan yang kukuh bagi 2022 berbanding 2021 adalah rangsangan kepada aktiviti berikutan pembukaan semula ekonomi susulan langkah-langkah pembendungan virus negara. Kami menjangkakan penggunaan dan pelaburan swasta yang kukuh di Malaysia tahun ini,” katanya.
Pada bulan Jun, agensi penarafan itu menyemak naik prospek kedaulatan jangka panjang Malaysia kepada stabil daripada negatif, mencerminkan jangkaan untuk momentum pertumbuhan yang stabil dan kedudukan luaran yang kukuh akan kekal dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pada masa yang sama, ia menjangkakan persekitaran penggubalan dasar akan menyokong dalam memulihkan penetapan fiskal kepada kedudukan yang lebih kukuh.
Pada Rabu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) menyatakan pasaran buruh Malaysia menyaksikan peningkatan 3.2 peratus dalam pekerjaan, atau 267,000 pekerjaan, pada suku kedua 2022, kepada rekod 8.619 juta dalam tempoh itu daripada 8.352 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Terdapat 191,000 kekosongan pekerjaan pada suku kedua 2022 berbanding 178,000 setahun yang lepas manakala bilangan pekerjaan yang dicipta meningkat lebih 29,400 daripada 16,180 sebelumnya, kata DoSM.
Jabatan itu menambah bahawa sektor perkhidmatan dan pembuatan adalah penyumbang utama.
Vishrut berkata, inflasi di Malaysia meningkat dan berkemungkinan akan terus meningkat pada masa hadapan. Beliau berkata paras inflasi 3.4 peratus pada bulan Jun adalah "sederhana" berbanding dengan paras inflasi yang tinggi di seluruh dunia.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata bahawa inflasi Malaysia kini terkawal berbanding rakan serantau dan antarabangsa.
Beliau berkata paras inflasi mungkin sekitar 11 peratus jika bukan kerana subsidi kerajaan ke atas barangan keperluan.
Inflasi Malaysia diramalkan antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada 2022, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bagi pergerakan ringgit, S&P Global Ratings berkata mata wang tempatan itu turun kira-kira 5.5 peratus berbanding dolar AS berbanding setahun lepas.
“Hasil daripada normalisasi dasar monetari yang pantas daripada Rizab Persekutuan AS, dolar AS telah mengukuh berbanding mata wang global.
“Indeks Dolar, yang terdiri daripada sekumpulan mata wang global, turun hampir 14.7 peratus berbanding dolar setahun lepas, (iaitu) lebih banyak daripada ringgit; mata wang Asia Pasifik kurang lemah,” katanya.
Malaysia, sebagai pengeksport tenaga bersih, juga mendapat manfaat daripada syarat perdagangan yang menggalakkan. Bagaimanapun, perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia telah mengecil dengan ketara, yang bermakna mungkin terdapat aliran keluar modal selanjutnya dan susut nilai pertukaran asing.
Beliau berkata cabaran utama bagi bank pusat di seluruh dunia hari ini adalah untuk membendung tekanan inflasi. Bagi Malaysia, BNM mempunyai lebih banyak ruang dasar, memandangkan inflasi kekal sederhana buat masa ini, tetapi lebih banyak pengetatan dasar monetari dijangkakan, tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial