AM

KKR siap siaga hadapi banjir

11/08/2022 08:57 PM

KUALA LIPIS, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir ekoran musim tengkujuh yang dijangka melanda negara tidak lama lagi.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata persediaan itu termasuk pengoperasian bilik gerakan bencana pasukan itu di peringkat negeri dan daerah mengikut keperluan semasa.

“Kami juga akan siap siaga dengan jentera kami dan menerusi langkah-langkah ini, kami akan pastikan jalan (di lokasi banjir) sentiasa boleh dilalui.

"Sekiranya jalan tersebut tidak dapat dilalui, kita akan bekalkan maklumat berhubung jalan alternatif yang ada sebagai panduan pasukan keselamatan yang turun membantu (mangsa banjir) terutama mereka yang membawa bekalan ubatan dan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat  lokasi runtuhan cerun di Jalan Bentong - Gua Musang di sini dalam program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 anjuran KKR.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan  Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Ir Mohamad Zulkefly  Sulaiman.

Fadillah berkata tumpuan KKR bukan sahaja di negeri yang kerap dilanda banjir seperti di pantai timur, tetapi semua negeri yang berpotensi banjir berdasarkan sejarah sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai runtuhan cerun di Jalan Bentong - Gua Musang itu, beliau berkata kerja pembaikan cerun yang mengambil masa enam bulan telah siap sepenuhnya pada 19 Julai lepas dengan jumlah keseluruhan kos (pembaikan) sebanyak RM4.5 juta.

"Runtuhan cerun di laluan Jalan Persekutuan Seksyen 85.7 Jalan Bentong - Gua Musang berlaku akibat banjir di lokasi itu pada Disember lepas dan alhamdulillah pembaikannya telah selesai,” katanya.

Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur berlangsung tiga hari bermula hari ini dengan menjelajah ke tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak bagi meninjau pembaikan infrastruktur pasca banjir, penyelenggaraan jalan Persekutuan dan projek infrastruktur awam KKR.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan