DUNIA

BJIFF jambatan perkukuh kerjasama penggiat perfileman 

15/08/2022 05:09 PM

BEIJING, 15 Ogos (Bernama) -- Festival Filem Antarabangsa Beijing (BJIFF) ke-12 anjuran bersama Kumpulan Media China (CMG) dan kerajaan tempatan Beijing membuka tirainya, pada Sabtu.

Berlangsung dari 13 hingga 20 Ogos, festival itu diserikan dengan tayangan lebih 130 buah filem unggul terbitan China dan negara asing untuk para penonton.

Difahamkan, sebanyak 1,450 filem dari seluruh dunia akan merebut ‘Anugerah Tiantan’, iaitu anugerah utama BJIFF 2022.

Pengarah eksekutif bagi pemilihan filem ‘Anugerah Tiantan’, Li Yiming menyifatkan festival itu sebagai jambatan untuk menjalinkan kerjasama serta pertukaran antara penggiat industri perfileman China dan dunia.

Timbalan Pengarah Eksekutif Pejabat Jawatankuasa Penganjur BJIFF, Cui Yan berkata Minggu Filem Sukan Antarabangsa Beijing juga akan membuat debut sebagai satu daripada acara sempena festival filem itu.

“Kami akan terus menyemarakkan semangat ‘legasi dua temasya Olimpik’ menerusi karya filem dan televisyen genre sukan, di samping menceritakan lebih banyak kisah sukan menyentuh kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, BJIFF 2022 turut menumpukan kerjasama di rantau Asia Pasifik, dengan mengundang pengamal industri filem dan televisyen dari negara-negara ASEAN untuk menyertai aktiviti berkenaan secara lebih meluas. 

Pihak terbabit mencungkil bakat dan karya baharu melalui projek pelaburan modal teroka demi merangsang kreativiti perfileman.

Edisi kali ini, Argentina dipelawa sebagai tetamu kehormat.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan