KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Sarawak dijangka menyaksikan suntikan modal lebih RM100 bilion ke dalam ekonomi negeri dalam tempoh lapan tahun akan datang apabila ia bergerak menjadi negeri maju menjelang 2030.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah yang dijangka diperoleh daripada sektor kerajaan dan swasta itu adalah lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak RM64 bilion sebelum ini.
“Setakat ini, saya berpendapat anggaran RM64 bilion kami sangat konservatif kerana Sarawak Energy Bhd (SEB) sahaja akan memperuntukkan RM40 bilion sehingga tahun 2026.
“Itu hanya SEB dan kami tidak memasukkan pelaburan loji hidrogen kami dari Sumitomo serta Samsung yang dianggarkan beberapa bilion ringgit (lagi),” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan SEB di sini hari ini.
Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam program pembangunan kapasiti untuk kakitangan pembinaan mahir dan meningkatkan amalan terbaik dalam sektor pembinaan di Sarawak.
Sementara itu, Abang Johari berkata peningkatan tenaga kerja mahir di Sarawak akan memberi manfaat bagi pembangunan infrastruktur negeri.
Beliau berkata terdapat banyak pembangunan di seluruh negeri yang memerlukan tenaga kerja tempatan yang mahir dan kompeten bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dan memastikan penyampaian projek pembangunan yang tepat pada masanya.
“Keperluan ini amat ketara semasa pandemik COVID-19 ketika kita menghadapi kekurangan pekerja yang ketara akibat ketiadaan pekerja asing yang disebabkan oleh sekatan akibat pandemik dan ini telah menyebabkan kelewatan projek.
“Latihan bagi pekerja tempatan akan mengelakkan kelewatan seperti itu daripada berulang sekiranya berlaku krisis yang serupa pada masa depan, kerana kita akan bersedia sepenuhnya dengan tenaga kerja tempatan yang kompeten,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial