KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Jelajah Makanan Taiwan akan menjadi platform terbaik untuk rakyat Malaysia mengenali kepelbagaian makanan Taiwan, kata Pengarah Bahagian Ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia James Y. C. Chang.
Pada sidang media serantau secara maya yang diadakan di Taipei hari ini dan dihubungkan secara serentak dengan Kuala Lumpur, Seoul, Singapura dan Ho Chi Minh City, Chang berkata jelajah itu melibatkan Malaysia, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam.
Beliau berkata berdasarkan statistik eksport antara Januari dan Julai lepas, empat negara ini adalah antara 12 pengimport utama produk pertanian dan makanan Taiwan.
“Jumlah nilai eksport ke empat negara ini sebanyak US$519.88 juta, menyumbang 16.5 peratus daripada jumlah nilai eksport,” katanya.
Ketua Pengarah Biro Perdagangan Luar Negeri Taiwan Cynthia Kiang serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) Simon Wang, penganjur bersama majlis itu, turut hadir.
Jelajah itu adalah usaha pemasaran multinasional untuk membantu memperluas peluang perniagaan pengeluar makanan Taiwan dalam era pasca sekatan pergerakan. Acara akan diadakan di pusat beli-belah dan pasar raya seperti AEON dan Isetan.
Pastri Taiwan, minuman, mi kering, buah-buahan kering adalah antara beberapa produk yang ditawarkan. Promosi bermula hari ini dan berakhir pada Disember 2022.
Chang berkata sebanyak 1,061 pengeluar Taiwan telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk makanan dan kosmetik.
Beliau berkata ketegangan China-Taiwan baru-baru ini tidak menjejaskan usaha untuk mempromosikan produk Taiwan dan terdapat rancangan untuk mengadakan 50 aktiviti jualan dan promosi untuk memanfaatkan kira-kira 2,000 pengeluar dengan peluang perniagaan melebihi US$62 juta.
“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memperuntukkan NT$200 juta (NT$1=15 sen) untuk membantu perniagaan dalam pasaran domestik dan luar negara, dengan tumpuan kepada 13 negara,” katanya.
Selain empat negara dalam jelajah secara maya hari ini, sembilan negara lain ialah Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Thailand, New Zealand, Australia, Perancis, United Kingdom dan Belanda.
Untuk terus memperluas usaha pemasarannya di sini, Chang berkata TAITRA akan menghantar delegasi untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada September dan Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B) ke-8 pada Oktober ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial