Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 18 Ogos (Bernama) -- Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia berminat untuk menyertai sektor perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan.
Duta EU ke Malaysia Michalis Rokas berkata beliau telah diberikan taklimat mengenai pelbagai perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) untuk membolehkan penggiat industri Eropah membuat pelaburan.
“Saya telah mendengar taklimat daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) semalam mengenai pelbagai perkhidmatan dan produk yang ditawarkan Labuan IBFC.
“Satu daripada produk itu adalah insurans kaptif dan bagi saya, ia adalah produk menarik yang boleh saya kongsikan dengan penggiat industri Eropah sebagai pelaburan berpotensi untuk mereka,” katanya kepada Bernama selepas bertemu Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Bashir Alias di pejabatnya hari ini.
Rokas berkata penggiat industri EU turut berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri tempatan berhubung cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan.
Katanya terdapat penggiat industri EU yang mempunyai kepakaran dan pengalaman meluas dalam projek pembangunan pembinaan pelabuhan dan pelabuhan bio.
“Penggiat industri kami memiliki kepakaran meluas dalam pembangunan pelabuhan seperti Pelabuhan Rotterdam dan sebahagian daripada mereka telah bekerjasama dalam pembangunan projek pengembangan pelabuhan di Sarawak dan Perak.
“Saya akan menyampaikan maklumat mengenai potensi pelaburan dan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor kewangan dan pembangunan pelabuhan di Labuan kepada dewan perniagaan Eropah yang berpangkalan di Kuala Lumpur,” katanya.
Rokas berkata penggiat industri EU turut meninjau potensi usaha niaga perniagaan dalam tenaga boleh diperbaharui dengan penggiat industri di Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial