DUNIA

Jepun peruntuk US$1.82 juta untuk pengebumian negara bekas PM Abe

25/08/2022 12:46 PM

TOKYO, 25 Ogos (Bernama) -- Pengebumian negara bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, yang dibunuh Julai lepas, akan menelan belanja kerajaan kira-kira 250 juta yen (US$1.82 juta), lapor Sputnik.

Agensi Berita Kyodo yang memetik sumber terdekat melaporkan, bahawa keputusan rasmi mengenai jumlah dana yang diperuntukkan dijangka dibuat pada 26 Ogos.

Menurut saluran TV NHK, kerajaan Jepun sedang membuat persediaan untuk penyertaan kira-kira 6,400 orang dalam pengebumian negara untuk Abe, termasuk pegawai tinggi asing.

Pengebumian Negara Abe pada 27 September akan menjadi pengebumian negara kedua untuk bekas perdana menteri sejak Perang Dunia II. Pengebumian pertama diadakan pada 1967 untuk Shigeru Yoshida.

Abe, 67, ditembak pada 8 Julai di bandar Nara, Jepun semasa berucap dalam kempen pilihan raya. Pembunuhnya, Tetsuya Yamagami, mendekati ahli politik itu dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter (33 kaki). Abe yang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Perubatan.

Upacara pengebumian dan pembakaran mayatnya diadakan pada 12 Julai.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan