SUKAN

Keluarga Aaron-Wooi Yik bangga, anggap kemenangan hadiah Hari Kebangsaan

28/08/2022 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kemenangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kejuaraan Kejohanan Badminton Dunia 2022 hari ini bukan sahaja menggembirakan keluarga masing-masing malah disifatkan satu kenangan terindah.

Lebih membanggakan bagi keluarga Aaron-Wooi Yik, kejayaan menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk gelaran dunia yang pertama dilihat sebagai hadiah Hari Kebangsaan yang bakal disambut Rabu depan.

Bapa Wooi Yik, Soh Goon Chup, berkata seluruh keluarga menyaksikan perlawanan penuh bermakna itu menerusi televisyen di ibu negara.

“Seluruh keluarga kami sangat gembira dan bersyukur, saya betul-betul mahu ucapkan terima kasih kepada anak saya dan Aaron kerana dapat menang Kejohanan Dunia ini. Detik terindah buat keluarga,” katanya kepada Bernama.

Goon Chup, 65, pernah beraksi untuk skuad kebangsaan dalam acara beregu lelaki pada era 1970-an hingga 80-an turut berkongsi mengenai penglibatan Wooi Yik, 24, yang mula bermain badminton seawal usia enam tahun dengan beliau menjadi jurulatih pertama.

“Memang sejak kecil Wooi Yik suka main badminton. Dia akan ikut sekali apabila saya mengajar badminton di kawasan seperti Cheras dan Selayang untuk belajar dan main bersama-sama,” jelasnya.

Goon Chup juga berkata beliau selalunya akan hadir memberi sokongan kepada anaknya di stadium sebelum ini namun semakin berkurangan ketika ini disebabkan pandemik COVID-19 dan faktor umur.

Ditanya mengenai perancangan untuk meraikan kejayaan anaknya, beliau berkata jika Wooi Yik mendapat pelepasan untuk balik ke rumah, beliau akan mengadakan ‘makan besar’ bersama keluarga.

“Kita belum tahu lagi, dia akan beraksi dalam kejohanan Terbuka Jepun minggu depan, jika dapat balik ke rumah selepas itu, kita akan buat sambutan kecil. Mungkin makan besar, atau kalau kawan-kawan nak bergambar dengan dia, bawa dia,” katanya dengan nada jenaka.

Sementara itu, bapa Aaron, Chia Boon Foo turut berkongsi perkara sama, apabila seluruh keluarganya yang menyaksikan perlawanan itu meluahkan kegembiraan atas kejayaan bersejarah hari ini.

“Kemenangan ini sangat bermakna buat beliau, keluarga dan seluruh negara, terutamanya apabila dilakar pada Bulan Kebangsaan. Satu sejarah baharu kerana tidak pernah ada pemain dari Malaysia yang pernah menenangi gelaran ini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia pertama meraih gelaran di pentas dunia selepas menundukkan bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam aksi final di Tokyo, Jepun.

Ia juga gelaran pertama bagi beregu di ranking keenam dunia itu di peringkat antarabangsa selepas memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, serta gangsa Olimpik Tokyo 2020.

Ini adalah penampilan keempat Aaron-Wooi Yik di kejohanan dunia dengan pencapaian terbaik beraksi adalah mara sehingga suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China.

Walaupun wakil negara pernah melangkah ke final sebanyak lapan kali, Malaysia tidak pernah merasai kejayaan di pentas Kejohanan Dunia itu.

Sebelum ini, pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei adalah pemain paling cemerlang apabila meraih tiga perak pada 2011, 2013 dan 2015, manakala peraknya pada edisi 2014 dibatalkan kerana kesalahan doping, selain Wong Choong Hann, yang kini pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mara ke final pada 2003.

Malaysia pernah muncul naib juara beregu lelaki sebanyak empat kali menerusi Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jailani Sidek (1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan