KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini disingkatkan kerana bekas perdana menteri itu memerlukan rawatan perubatan setelah ubat darah tingginya memberinya kesan buruk.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Penjara Kajang mengenai keadaan Najib yang ‘agak teruk’.
“Ubat tekanan darah tertuduh telah ditukar dan ia memberi kesan buruk kepadanya.
“Saya dimaklumkan keadaannya (Najib) agak teruk, tetapi beliau bersedia untuk berada di sini (perbicaraan) sehingga 12.30 tengah hari. Pada 2 petang beliau perlu dibawa ke hospital untuk berjumpa doktor,” katanya.
Hakim bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan.
Bekas perdana menteri itu yang bersut biru duduk di kandang tertuduh, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Najwa dilihat duduk di galeri awam.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan diteruskan dengan Pengurus Ambank (M) Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi yang merupakan saksi pendakwaan ke-37 membaca kenyataan saksinya.
Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial