AM

Halang pemegang Kad Burung-Burung, Sijil Banci masuk ke Labuan - Senator

12/09/2022 04:04 PM

LABUAN, 12 Sept (Bernama) -- Senator Datuk Bashir Alias mendesak Jabatan Imigresen untuk menghalang pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci dalam kalangan imigran warga Filipina dari Sabah untuk memasuki pulau bebas cukai ini.

Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Imigresen harus membenarkan pemegang kedua-dua dokumen tersebut yang berada di pulau ini untuk pulang ke Sabah.

Bashir berkata ini selari dengan polisi tiada aliran bebas yang akan dikuat kuasa di terminal feri roll on roll off dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menguatkuasakan kawalan lebih ketat di dua terminal feri di sini, terutama terhadap pengembara bukan penduduk Sabah yang ingin ke tanah besar negeri itu. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata peruntukan sebanyak RM200,000 telah diluluskan untuk tindakan segera seperti menubuhkan kaunter khas bagi bukan penduduk Sabah.

Beliau berkata kawalan lebih ketat diperlukan bagi memastikan tiada aliran bebas di pintu masuk utama terminal feri ke tanah besar Sabah di Jeti Tanjung Pagar Sipitang, Menumbok dan Jesselton.

Sementara itu, Bashir berkata dokumen untuk imigran Filipina di Sabah dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Imigresen negeri, justeru, pemegang dokumen sepatutnya tidak dbenarkan mengembara di luar Sabah.

“Kami menganggarkan kira-kira 12,000 imigran Filipina berada di pulau bebas cukai ini, kami bimbang jumlahnya meningkat kerana tiada pengawalan ketat oleh rakan setugas di Sabah.

“Kami juga tidak mahu melihat pemegang dokumen ini terkandas di Labuan, jika pihak imigresen di terminal feri menghalang mereka daripada pergi ke Sabah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bashir berkata Labuan hanya mengiktiraf pemegang dokumen IMM13 serta warga asing dengan pasport antarabangsa berserta permit kerja untuk tinggal dan bekerja di Labuan.

“Kami menyambut baik pemeriksaan imigresen yang lebih ketat di terminal feri seperti yang diarahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin, memandangkan kami memahami situasi tersebut, tetapi pihak mereka juga perlu melihat kepada peningkatan jumlah imigran Filipina dengan Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di pulau ini,” katanya.

Bashir berkata kerajaan Sabah juga perlu melihat keperluan untuk melaksanakan pemeriksaan imigresen di Jeti Menumbok bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah sahaja dibenarkan menaiki feri atau bot penumpang ke Labuan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan