AM

MOSTI salur geran dan pinjaman berjumlah RM215.15 juta kepada syarikat minyak dan gas sejak 2011

15/09/2022 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyalurkan geran dan pinjaman berjumlah RM215.15 juta kepada syarikat-syarikat berkaitan minyak dan gas, sejak 2011 sehingga kini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata geran dan pinjaman tersebut untuk memastikan sektor minyak dan gas negara mendapat pembiayaan dan pinjaman yang sepatutnya.

“MOSTI menyediakan sokongan pembiayaan bagi menggalakkan penyelidikan serta aplikasi teknologi dalam industri minyak dan gas,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Inovasi Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas 2022 (OIA 2022) hari ini.

Beliau berkata projek penyelidikan dan pembangunan kepada TechnologyPark Malaysia Corporation Sdn Bhd, MIT Innovation Sdn Bhd dan NanoMalaysia Bhd yang telah membiayai tiga projek menerusi dana TechnoFund dan Strategic Research Fund dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM7.22 juta bagi menggalakkan penyelidikan dalam industri minyak dan gas termasuk loji dalam pesisir dan penggerudian.

“Menerusi agensi pembiaya MOSTI, iaitu Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah membiayai dua buah syarikat bagi membangunkan teknologi berkaitan minyak dan gas menerusi dana Business Startup Fund (BSF) dengan jumlah keseluruhan pembiayaan berjumlah RM7.33 juta.

“Menerusi Malaysia Debt Ventures (MDV) pula, di bawah inisiatif Dana Teknologi Bumiputera dan MDV Venture Financing, pinjaman dengan jumlah keseluruhan RM200.6 juta telah diberikan kepada 14 buah syarikat tempatan berasaskan teknologi minyak dan gas,” katanya. 

Mengenai majlis tersebut, Adham berkata anugerah itu dilihat signifikan dalam mengiktiraf kecemerlangan dan prestasi inovasi individu dan syarikat tempatan sebagai kayu ukur dalam sektor minyak dan gas yang merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya percaya Anugerah OIA 2022 ini adalah cerminan usaha keras syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas Malaysia di peringkat global, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab minyak dan gas di rantau ini,” katanya.

Katanya MOSTI menghargai kerja keras, tenaga dan masa yang dicurahkan oleh para peserta untuk merealisasikan idea kepada realiti.

“Saya menyeru kepada semua pemenang dan finalis agar terus berusaha untuk meningkatkan nilai komersial produk dan perkhidmatan masing-masing ke tahap yang lebih tinggi,” katanya

Sebanyak lima syarikat telah menerima geran pembangunan sebanyak RM250,000 daripada Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC). 

-- BERNAMA

 

TAG: MOSTI, minyak dan gas, geran, pinjaman, Adham Baba, OIA 2022


DAAF NJ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan