EKONOMI

AirAsia Malaysia mansuh pemakaian pelitup muka dalam penerbangan

29/09/2022 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- AirAsia Malaysia (AK) hari ini mengumumkan pemansuhan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan berkuat kuasa serta-merta berikutan pengumuman kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaiannya dalam penerbangan.

AK dalam kenyataan memaklumkan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan adalah pilihan penumpang, kecuali mereka melakukan perjalanan ke atau dari destinasi yang memerlukan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam.

Bagaimanapun, penumpang yang ingin memakai pelitup muka semasa dalam penerbangan boleh terus berbuat demikian.

“Semua pesawat kami dilengkapi penapis HEPA yang mampu menghapuskan 99.99 peratus zarah habuk dan bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.

“Udara kabin disegarkan sepenuhnya setiap tiga minit untuk memastikan kualiti udara adalah pada tahap maksimum sepanjang penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan