DUNIA

Bank Dunia umum bantuan tambahan US$530 juta untuk Ukraine

01/10/2022 06:32 PM

ANKARA, 1 Okt (Bernama) -- Bank Dunia mengumumkan bantuan tambahan US$530 juta untuk membantu Ukraine menampung "perkhidmatan awam yang penting seperti kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial."

United Kingdom (UK) dan Denmark, sebagai negara penderma, masing-masing menyediakan jaminan pinjaman US$500 juta dan US$30 juta, untuk memenuhi keperluan mendesak Ukraine akibat perang, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan bank itu.

"Kemusnahan, kerosakan dan pemindahan penduduk di Ukraine amat mengejutkan dan terus meningkat.

“Ia akan mengambil masa yang lama untuk rakyat Ukraine pulih dan rakan kongsi pembangunan perlu terus bersatu untuk menyokong pembinaan semula Ukraine," kata Naib Presiden Serantau Bank Dunia untuk Eropah dan Asia Tengah, Ana Bjerde.

Setakat ini, Bank Dunia telah menyediakan hampir US$13 bilion bantuan pembiayaan kecemasan untuk Ukraine, termasuk komitmen dan ikrar daripada penderma, dengan US$11 bilion telah diagihkan sepenuhnya.

Sementara itu, Pengarah Bank Dunia untuk Eropah Timur Arup Banerji berkata analisis terbaharu bank itu menunjukkan jumlah kos jangka panjang untuk pembinaan semula dan pemulihan di Ukraine adalah besar sehingga boleh mencecah lebih US$100 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata jumlah itu dijangka meningkat jika perang berterusan.

"Tetapi Kerajaan Ukraine menumpukan kepada keperluan sosial yang mendesak, memastikan pemulihan segera dan pembaikan selesai, sambil merancang untuk tugas pembinaan semula yang lebih menyeluruh," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan