DUNIA

Laluan keretapi China-Laos bantu TDA tingkat eksport durian

05/10/2022 07:56 PM

BANGKOK, 5 Okt (Bernama) -- Thailand akan meningkatkan eksport buah durian segar ke China melalui kereta api, menurut Persatuan Durian Thai (TDA).

Presiden TDA Phanusak Saiphanich berkata perkhidmatan kereta api China-Laos menjadi antara pilihan utama pengeksport durian di negara Gajah Putih itu untuk mengendalikan penghantaran buah berkenaan ke China.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah buah-buahan yang dieksport ke China terus meningkat dan masa pengangkutan yang singkat antara faktor terpenting untuk memastikan tahap kesegaran.

“Pada masa dulu penghantaran lazimnya dikendalikan menerusi laluan darat dan urusan pelepasan kastam biasanya di pintu keluar masuk Dongxing, Youyiguan, Pingxiang di wilayah Guangxi.

“Kini tiga tempat itu terlalu sibuk menguruskan buah-buahan import dari Vietnam, jadi kami beralih kepada pintu keluar masuk Mohan di Yunnan dan menambah perkhidmatan menerusi laluan air dan udara,” kata Phanusak.

Beliau berkata pihaknya akan memanfaatkan perkhidmatan kereta api China-Laos yang baru beroperasi itu untuk menjimatkan masa penghantaran, memandangkan jumlah pengeluaran durian dijangka terus meningkat pada tahun hadapan.

Thailand antara pengeluar dan pengeksport durian terbesar dunia dengan jumlah output melepasi sejuta tan setiap tahun dan lebih 80 peratus adalah untuk pasaran China.

Di bawah rangka Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), perdagangan buah-buahan segar antara Thailand dengan China menikmati status bebas tarif. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan