KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor (SIHC) 2022 diharap menyumbang pemikiran, pandangan dan idea untuk dikongsikan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membina sistem kesihatan yang mapan untuk negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pelaksanaan program itu juga bertepatan dengan perangkaan kertas putih kesihatan yang sedang berjalan.
"Pengajaran daripada pandemik ini membuka mata kita bahawa negara tidak dapat mengharunginya dengan baik sebab terkesan banyak sangat dari segi emosional dan mental, oleh sebab itu lahirnya pemikiran bahawa usaha-usaha untuk pembaharuan daripada dulu yang dibuat secara perlahan-lahan dan berfasa.
"Ini bagus diteruskan tetapi kita perlu ada satu pembaharuan tentang kesihatan ini yang kita nak bentukkan dan bentangkan dalam kertas putih tadi dan saya percaya pakar-pakar yang akan membentangkan ini akan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada persidangan itu di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Infomed Malaysia Mohan Manthiry berkata persidangan tiga hari itu akan memberi pemahaman terperinci mengenai trend semasa, isu serta masa depan dan pembangunan industri penjagaan kesihatan.
“Ia menyediakan forum untuk pakar dan penyedia (industri penjagaan kesihatan) untuk meneliti pembangunan dan cabaran utama dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan dan menawarkan penyelesaian,” katanya.
Mohan berkata penceramah antarabangsa dan tempatan yang menyertai persidangan itu adalah pakar yang khusus dalam bidang mereka, memandangkan perbincangan adalah menyeluruh dan memerlukan pandangan secara mendalam dari ahli profesional termasuk pembuat dasar.
SIHC diadakan sebagai salah satu pengisian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial