BERITA PRU15   Tuan Ibrahim Ketua Pembangkang di DUN Pahang | Pengundi Padang Serai, Tioman dinasihat keluar mengundi ikut masa dicadangkan di MySPR Semak | PRU15 Tioman: Pengundi boleh mohon pelepasan daripada majikan | Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain | Padang Serai diramal cerah, Tioman hujan pagi esok - MetMalaysia | 
EKONOMI

Kerajaan cadang lanjutkan pengecualian duti setem bagi struktur, jadual semula pinjaman

08/10/2022 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan supaya pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman/pembiayaan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Berdasarkan lampiran Bajet 2023, MOF menjelaskan langkah itu bertujuan membantu mengurangkan kos pinjaman dan menambah baik aliran tunai peminjam.

“MOF mencadangkan lanjutan pengecualian duti setem diberikan kepada perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman/pembiayaan yang disempurnakan mulai 1 Jan, 2023 hingga 31 Dis, 2024,” menurutnya dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.

MOF menambah, berdasarkan kedudukan semasa, pengecualian duti setem sepenuhnya diberi ke atas perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman/pembiayaan antara peminjam dan institusi kewangan yang disempurnakan mulai 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2022.

“Ia tertakluk kepada pinjaman/pembiayaan asal telah disetem sewajarnya dan perjanjian penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman/pembiayaan tersebut tidak mempunyai elemen penambahan nilai kepada nilai pinjaman/pembiayaan yang asal,” jelasnya.

MOF turut mencadangkan galakan cukai bagi pelabur mangkin dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun mulai 1 Jan, 2024 hingga 31 Dis, 2026 bertujuan menggalakkan lebih ramai pelabur mangkin menyumbang kepada aktiviti ekonomi melalui pendanaan modal dalam syarikat penerima pelaburan.

Ketika ini, pelabur mangkin yang melabur dalam syarikat penerima pelaburan dalam bentuk syer biasa layak mendapat pengecualian cukai bersamaan dengan amaun pelaburan dan galakan cukai ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh MOF mulai 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2023, jelas kementerian itu.

Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan galakan cukai bagi Global Trading Centre dilanjutkan selama tiga tahun lagi bagi permohonan yang diterima Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mulai 1 Jan, 2023 hingga 31 Dis, 2025.

Ini bertujuan menarik minat syarikat multinasional menjalankan aktiviti perdagangan dan menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran serantau, jelas MOF.

“Ketika ini, syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan bagi tujuan eksport layak dipertimbangkan galakan cukai Global Trading Centre dengan kadar cukai pendapatan 10 peratus untuk tempoh lima tahun dan boleh diperbaharu untuk tempoh lima tahun.

Kerajaan juga bercadang melanjutkan galakan cukai bagi Pembangunan Harta Intelek selama tiga tahun lagi iaitu mulai 1 Jan, 2023 hingga 31 Dis, 2025 untuk terus menggalakkan pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pendaftaran harta intelek di Malaysia.

“Kerajaan turut bercadang melaksanakan potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 ke atas syarikat dan selain syarikat (individu, perkongsian, badan amanah dan koperasi yang mempunyai pendapatan perniagaan) yang membuat sumbangan atau penajaan peralatan Smart AI-Driven Reverse Vending Machine,” menurut MOF.

Langkah ini bertujuan menyokong kitaran semula sisa plastik sebagai sumber ekonomi dan memastikan kadar dikumpulkan untuk kitar semula dapat ditingkatkan,” tambahnya.

MOF menjelaskan tarikh kuat kuasa bagi potongan cukai tersebut adalah bagi sumbangan/penajaan dan permohonan yang diterima oleh pihaknya mulai 1 Jan, 2023 hingga 31 Dis, 2024.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan