AM

Kerajaan cadang lanjutkan tempoh permohonan insentif GITA, GITE hingga 31 Dis, 2025

08/10/2022 12:53 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bagi menggalakkan pelaburan hijau, kerajaan mencadangkan untuk melanjutkan tempoh permohonan insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) hingga 31 Dis, 2025.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu dibuat dengan menambah baik tempoh galakan kepada lima tahun daripada tiga tahun bagi aktiviti hijau yang layak, misalnya aktiviti solar berserta sistem penyimpanan tenaga bateri.

Selain itu, katanya Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) akan turut ditambah baik dengan nilai jaminan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga tahun 2025.

"Skop pembiayaan diperluas khususnya kepada sektor kenderaan elektrik (EV) dengan had jaminan sehingga 60 peratus dan pembiayaan sektor sisa akan ditingkatkan tahap jaminannya kepada 80 peratus,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau berkata sebagai pinjaman mudah, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan RM1 bilion di bawah Dana Pembiayaan Teknologi Tinggi dan Hijau bagi menyokong syarikat pemula teknologi lestari yang inovatif.

"Selain itu, RM1 bilion di bawah Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah untuk membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerap amalan rendah karbon," katanya

Tengku Zafrul berkata Khazanah Nasional Bhd akan menyediakan RM150 juta melalui Dana Impak bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam, termasuk menyokong pasaran karbon dan restorasi hutan terosot.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan