KOTA KINABALU, 11 Okt (Bernama) -- Calon Bersatu Sabah yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan menggunakan simbol Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata walaupun menggunkan logo GRS, kemenangan calon itu akan dikira sebagai kemenangan Bersatu kerana ia adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).
“Itu persefahaman yang telah dicapai, tiada isu atau masalah dalam soal itu...situasi agak luar biasa sedikit di Sabah yang terbentuk kerajaan negeri hasil persefahaman parti-parti walaupun peringkat Persekutuan tidak sehaluan, di sini keadaan istimewa, kami menerima perbezaan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kebijaksanaan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah, badan kepimpinan Bersatu negeri serta GRS bagi mencapai kata sepakat yang memberi keuntungan serta faedah kepada rakyat dan parti.
Ditanya mengenai hubungan ‘dingin’ antara PAS dan UMNO, Muhyiddin berkata PAS adalah parti pengasas PN dan kekal sebagai rakan kongsi penting, terutama ketika menghadapi PRU15.
“PAS berkali-kali menyatakan mereka akan kekal sebagai rakan kongsi penting PN, itu sudah jelas sekarang dan tiada lagi ketidakpastian...ini akan membuka jalan untuk PN menjadi lebih kuat dan bekerja lebih efektif dalam PRU kali ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra di sini.
Turut hadir Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial