DUNIA

China antara tonggak utama dalam misi pengaman PBB

19/10/2022 04:06 PM

BEIJING 19 Okt (Bernama) -- Batalion infantri pasukan pengaman China ke Sudan Selatan dan detasmen helikopter pasukan pengaman China ke wilayah Abyei menerima anugerah "pingat keamanan kehormat" oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Penganugerahan itu sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang pasukan pengaman China terhadap keamanan dan pembangunan di Sudan Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang taklimat pada Selasa berkata kedua-dua pasukan itu ditempatkan di Sudan Selatan dan wilayah Abyei masing-masing pada Disember dan November tahun lepas. 

"Mereka telah berjaya menyelesaikan lebih 400 misi pengaman dan mendapat pujian masyarakat tempatan.

"Usaha mereka telah menunaikan komitmen China untuk memelihara keamanan dunia," kata Wang.

Wang berkata tahun ini ialah ulang tahun ke-30 penghantaran pasukan pengaman China untuk misi pengaman PBB.  

"Sepanjang 30 tahun  lalu China telah menghantar lebih 50,000 anggota pasukan pengaman ke lebih 20 negara dan wilayah membabitkan hampir 30 misi pengaman PBB.

"China ialah anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dengan bilangan penghantaran anggota pengaman paling banyak dan sumbangan dana kedua terbesar dalam misi pengaman PBB.

"Semakin ramai anggota pengaman China menjalankan misi untuk memelihara keamanan dan ketenteraman," kata Wang.

Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi operasi pengaman, Jean-Pierre Lacroix sebelum ini dilaporkan berkata: "China telah memainkan peranan signifikan dalam operasi pengaman PBB dan telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai negara besar dalam memelihara keamanan dunia."

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan