AM

PM rasmi kompleks Media City, kini dikenali Angkasapuri Kota Media

26/10/2022 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merasmikan kompleks bangunan baharu Media City serta mengumumkan nama baharunya sebagai Angkasapuri Kota Media. 

Pada perasmian itu, Ismail Sabri turut  memasyhurkan nama-nama jalan di sekitar kompleks itu sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

"Media City pada masa hadapan, akan terus dibangunkan untuk menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan di kompleks ini, sebagaimana yang berjaya dilaksanakan di Media City di Dubai, UAE; Manchester, Singapura dan Sydney," kata beliau ketika berucap merasmikan kompleks tersebut di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Hadir sama Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Che Roslan Che Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Ismail Sabri berkata Angkasapuri Kota Media akan menambahkan satu lagi ikon penyiaran Malaysia iaitu ikon penyiaran teknologi digital Malaysia.

"Ia boleh digarap menjadi satu model penerbitan kandungan kebangsaan sebagaimana yang dipelopori oleh Hollywood di Amerika Syarikat, BBC di Eropah dan industri kandungan di Jepun dan Korea yang berpaksi kepada kebudayaan dan gaya hidup tempatan dengan nilai kebersamaan yang universal," kata beliau. 

Perdana Menteri berkata teknologi yang dibawa bersama pembangunan Angkasapuri Kota Media sebagai simbol penyiaran negara wajib dioptimumkan penggunaannya dalam penghasilan kandungan, siaran radio dan televisyen yang lebih jelas di samping penyampaian maklumat dan hiburan kepada rakyat.

Ismail Sabri berkata pembangunan industri penyiaran berhubung rapat dengan tiga komponen utama iaitu perkembangan teknologi, penghasilan kreatif kandungan program, dan ketersediaan infrastruktur serta fasiliti.

Justeru, beliau berkata pembangunan  Angkasapuri Kota Media adalah antara langkah strategik pihak kerajaan untuk menyediakan medium yang kondusif dan ekosistem yang sesuai ke arah merangsang perkembangan dan pembangunan industri penyiaran di negara ini. 

Angkasapuri Kota Media melibatkan kos keseluruhan RM860 juta meliputi pejabat dan ruang teknikal seluas 62,027 meter persegi itu turut merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan penyiaran. 

Projek pembangunan itu yang bermula pada 12 Dis 2016 menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras dengan perancangan kerajaan membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital. 

Kompleks tersebut mempunyai 18 tingkat ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 orang, studio rakaman muzik dan studio latihan muzik, tiga buah studio TV (M1, M2 dan M3), ruang parking bertingkat dan plaza serta garaj kenderaan siaran luar. 

Ia juga dilengkapi eskalator terpanjang di pejabat kerajaan negara ini iaitu sepanjang 34.5 meter. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan