BATU PAHAT, 26 Okt (Bernama) -- Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan diperluaskan kepada semua Universiti Awam (UA), pada tahun hadapan dengan sasaran 200 penerima.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata perlaksanaan pertama atau rintis program SULUNG berkenaan, bermula Oktober tahun ini melibatkan lapan universiti.
Beliau berkata daripada lapan universiti tersebut, seramai 76 pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline, telah terpilih ditawarkan sebagai Siswa SULUNG.
“Lapan UA yang terlibat adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“KPT dalam masa yang sama, turut menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar merangkumi tenaga pengajar di institusi awam dan mereka yang layak melanjutkan pengajian dari peringkat sijil sehingga ke ijazah lanjutan,” katanya dalam ucapannya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) dan penyampaian surat tawaran program penajaan KPT di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.
Noraini berkata bagi tujuan penajaan, KPT telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk tujuan penajaan pendidikan, kepada seramai 30,314 pelajar pada tahun ini.
“Untuk mereka yang datang dari keluarga B40, KPT turut menawarkan Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK), manakala bagi golongan OKU pula Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas (PPK) disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, penerima Program Sulung Eva Calista Kuantim, 21, berkata beliau gembira menerima tawaran berkenaan, dan akan menggunakan setiap bantuan yang diberikan dengan sebaiknya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada KPT dan berharap bantuan ini akan meringankan sedikit beban keluarga, setelah kurang kebergantungan saya terhadap keluarga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial