AM

Trauma, takut terperangkap dalam Gua Tempurung - Mangsa

26/10/2022 10:42 PM

GOPENG, 26 Okt (Bernama) -- "Saya berasa trauma dan ketakutan semasa kejadian (kepala air) dan hanya terfikir untuk menyelamatkan diri dan peralatan penggambaran sahaja," demikian kata Muhd Aidilfitri Ilias, seorang daripada 30 kru penggambaran sebuah filem antarabangsa yang terperangkap berhampiran Gua Tempurung di sini hari ini.

Muhd Aidilfitri, 20, yang baru dua bulan bekerja sebagai kru produksi filem berkenaan berkata air mendadak sehingga ke paras pinggang dan keadaan ketika itu sangat kelam kabut dan panik.

"Kami mula masuk ke dalam Gua Tempurung pada 8 pagi tadi untuk menjalani penggambaran. Kira-kira pukul 4 petang, air tiba-tiba masuk ke dalam gua dan naik secara mendadak, kami terperangkap dua jam di dalam gua sebelum dapat menyelamatkan diri dengan keluar dari gua tersebut.

"Saya hubungi kru yang berada di luar gua memaklumkan mengenai kejadian itu supaya mereka menelefon pihak bomba," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini malam ini.

Muhd Aidilfitri berkata kesemua mereka yang terperangkap berjalan keluar dengan membawa kesemua peralatan penggambaran dari gua dengan menggunakan tali. 

"Di lokasi kejadian memang tiada air tetapi kejadian kepala air itu berlaku kerana ada laluan air di pintu masuk gua berkenaan," katanya yang berasal dari Gopeng. 

Sementara itu, Mohd Fitri Shah Abdullah, 25, bersyukur apabila kesemua mereka terselamat dalam kejadian berkenaan.

"Kami tidak boleh menghubungi sesiapa kerana talian komunikasi terhad dan hanya menggunakan 'walkie talkie' sahaja untuk menghubungi kru yang lain," katanya.

Dalam kejadian petang tadi, seramai 30 kru penggambaran filem antarabangsa yang terperangkap di belakang Gua Tempurung di sini selepas laluan keluar gua itu dinaiki air berikutan hujan lebat petang tadi, selamat dan berjaya dibawa keluar.

Dalam satu kenyataan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata jumlah kru yang terlibat dalam aktiviti penggambaran di kawasan itu adalah seramai 80 orang dan yang terperangkap adalah seramai 30 orang terdiri daripada warga tempatan dan warga Singapura.

Katanya, kesemua mangsa terperangkap berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota polis dan bomba dan kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan