KUALA KANGSAR, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri melancarkan Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) sebagai usaha membantu pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) daripada mengalami keadaan terputus bekalan makanan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 itu menyasarkan 45,000 pelajar dari empat institusi iaitu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) melibatkan golongan asnaf dan isi rumah B40.
"USAS menjadi universiti pertama di negeri ini yang kita mulakan dengan peruntukan sebanyak RM300,000 sebagai dana permulaan hasil sumbangan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.
"Program MPS ini setiap mahasiswa yang layak akan menerima e-baucar bernilai RM150 setiap bulan dan mereka boleh menebus menerusi aplikasi 'Smart Kotak' dalam telefon pintar mereka di kios dalam USAS yang sudah disediakan," katanya selepas merasmikan Program Mahasiswa Sejahtera USAS di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Naib Canselor USAS Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi serta Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Pegawai Eksekutif Smart Kotak Fatimah Chan Abdullah.
Menurut Saarani, melalui MPS lepasan mahasiswa diberi ruang menjadi vendor selain menjalani latihan keusahawanan selama sebulan sebelum memilih tapak serta kios perniagaan yang akan disediakan di dalam kampus terpilih.
"Syarikat Kotak Global Sdn Bhd berkolaborasi dengan Yayasan Perak dengan sokongan semua GLC antaranya Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) dan Lembaga Air Perak (LAP) untuk menyumbangkan dana bagi membekalkan bekalan makanan berkhasiat.
"Pelajar hanya perlu tebus sahaja menerusi aplikasi Smart Kotak untuk membeli makanan di kios yang dikendalikan usahawan dari universiti terlibat," katanya.
Beliau berkata melalu e-baucar, pelajar boleh berbelanja seperti biasa dan diharap sumbangan itu dapat sampai kepada semua mahasiswa yang terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial