KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke program 'Stray Free Selangor' sempena sambutan Hari Haiwan Sedunia 2022 di Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor di Ampang dekat sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Penaung SPCA Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi SPCA Christine Chin serta bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga penaung diraja program 'Stray Free Selangor' turut berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan cek bernilai RM390,000 daripada empat syarikat korporat dan satu badan bukan kerajaan (NGO) kepada SPCA.
Empat syarikat korporat dan NGO itu terdiri daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Better Foundation Malaysia, Konsortium Jaringan Selangor, Asia Pasific University dan Mystique Universal Sdn Bhd.
Baginda kemudian berkenan mengunjungi pusat penjagaan kucing sebelum berangkat meninggalkan SPCA kira-kira 1 tengah hari.
Sementara itu, Chin berkata sumbangan daripada pelbagai pihak kepada program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk mengurangkan populasi dan mengelak kekejaman terhadap haiwan jalanan.
Beliau berkata menerusi 'Stray Free Selangor', pihaknya menggalakkan pengembirian terhadap haiwan jalanan secara besar-besaran bagi mengurangkan populasi selain memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menyantuni haiwan jalanan dengan tidak mendera haiwan.
"Kita sedia maklum bahawa Tengku Permaisuri (Norashikin) sangat prihatin terhadap nasib haiwan-haiwan jalanan, baginda sendiri turut merupakan 'rescuer' (penyelamat) kucing dan sering menyantuni haiwan-haiwan jalanan dengan memberi makanan.
"Dengan sumbangan itu juga, kami turut dapat menanggung subsidi menerusi diskaun hingga 80 peratus kepada para penyelamat anjing dan kucing liar untuk datang menyertai program pengembirian di SPCA, dengan syarat mereka perlulah menghubungi kami dan mengisi borang terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, Lee berkata Akta Kebajikan Haiwan 2015 harus diperketat dengan hukuman lebih berat ke atas salah laku terhadap penganiayaan dan penderaan haiwan.
"Di bawah akta itu, seseorang melakukan kekejaman ke atas haiwan sekiranya dia dengan kejam memukul, menendang, menganiaya, menyeksa, menimbulkan kemarahan atau menakutkan mana-mana haiwan.
“Pelaku boleh dikenakan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun,” katanya sambil menyeru orang ramai tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan dan pesalah didakwa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial