JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan Johor menyasarkan pembinaan 21,139 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun ini, dengan 2,400 unit dijangka siap hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pemaju perumahan bagi mencapai hasrat itu, dan telah mengadakan pertemuan dengan 57 pemaju baru-baru ini bagi membincangkannya.
Beliau berkata Dasar Perumahan Johor menetapkan supaya pemaju membina rumah mampu milik, namun pada masa sama kerajaan negeri akan turut memastikan mereka tidak terbeban dengan pelaksanaan dasar itu.
“Sebanyak 60 peratus kita beri (kebenaran) pemaju untuk bina rumah kos tinggi, tidak kira RM400,000 sehingga RM1 juta, itu terpulang kepada mereka, tetapi 40 peratus menjadi tanggungjawab mereka untuk membina rumah mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Menduduki Rumah Pangsapuri Seri Aman 1 Larkin di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Mohd Jafni berkata kerajaan negeri telah memperkasakan sistem permohonan dalam talian, dan rakyat Johor yang tidak mempunyai rumah atau tanah, hanya perlu menyediakan lima dokumen, berbanding 17 dokumen sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial