EKONOMI

Telekosang Hydro capai IOD, dijangka jadi loji jana kuasa hidro ROR terbesar Malaysia

07/11/2022 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Telekosang Hydro One Sdn Bhd mencapai tarikh pengoperasian awal (IOD) pada 5 Nov, 2022 untuk menjana dan membekalkan tenaga elektrik kepada sistem grid kuasa Sabah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Pengerusi Eksekutif Jentayu Sustainables Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Telekosang Hydro, Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata Telekosang Hydro disasarkan untuk menjadi antara loji jana kuasa hidro ‘run-of-river’ terbesar Malaysia dan dijangka menjana 245,000 megawatt-jam (MWh) elektrik setiap tahun.

“Ia menyediakan 1,000 peluang pekerjaan dan membolehkan pemindahan pengetahuan teknologi hijau ke Sabah,” katanya dalam kenyataan bersama pada Isnin.

Loji jana kuasa ‘run-of-river’ menggunakan aliran air dari sungai untuk memutar turbin. Lazimnya kemudahan ini hanya mempunyai sedikit atau tiada penyimpanan air.

Ia juga menyediakan bekalan elektrik berterusan, dengan beberapa fleksibiliti operasi untuk permintaan harian yang tidak menentu menerusi aliran air yang dikawal oleh kemudahan tersebut.

Beliau berkata IOD itu membuka laluan untuk Jentayu Sustainables memuktamadkan pengambilalihan Telekosang Hydro, menyokong aspirasi syarikat itu untuk menjadi peserta tenaga hijau utama di negara ini.

Beroz Nikmal berkata pengambilalihan Telekosang Hydro akan membolehkan syarikat turut menyediakan perkhidmatan sampingan di bawah Penyelesaian Kelestarian Bersepadu, seperti sijil tenaga boleh baharu (REC), nasihat karbon dan pengurusan karbon.

“Sebagai satu kumpulan, kami akan terus menyokong kelestarian sebagai nadi perniagaan dan dalam semua usaha kami -- termasuk usaha pemeliharaan dan pemulihan.

“Kami sedang memuktamadkan terma dan syarat untuk Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) mengetuai usaha pemulihan dan penghutanan semula bagi memastikan pemuliharaan biodiversiti sekitar kawasan Telekosang Hydro,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan