KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet, komited untuk menggabungkan lima langkah utama yang dikenakan ke atas bank oleh Bank Negara Malaysia untuk memerangi penipuan kewangan.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat fintech itu berkata ia merancang untuk melaksanakan lima strategi itu pada suku pertama 2023, yang termasuk meningkatkan keselamatan dengan menambah lebih banyak kaedah pengesahan untuk melengkapi kaedah semasa, mengetatkan peraturan penipuan dan menyekat transaksi yang mencurigakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Alan Ni berkata Touch ‘n Go eWallet memberi penekanan yang tinggi terhadap ciri-ciri privasi dan keselamatan untuk menjaga kepentingan pengguna.
“Kami percaya langkah-langkah yang diperkenalkan itu akan memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna kami bahawa wang dalam e-dompet mereka dilindungi dan setiap transaksi yang dilakukan adalah selamat dan terjamin.
“Kami berharap langkah ini akan membawa kami lebih dekat dengan lebih ramai rakyat Malaysia berikutan mereka menggunakan Touch 'n Go eWallet dalam kehidupan seharian, sejajar dengan visi kami untuk membina masyarakat yang lebih celik kewangan,” katanya.
Menurut syarikat itu, strategi lain ialah melaksanakan pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan kali pertama seperti peranti selamat atau dokumen profil dan mengehadkan pengesahan e-transaksi kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat bagi setiap pemegang akaun.
Strategi lain ialah mempunyai saluran perkhidmatan pelanggan atau talian hotline yang khusus untuk laporan insiden dan curiga mengenai penipuan, menurut TNG Digital.
“Apabila dilaksanakan, piawaian keselamatan ini dijangka akan mengukuhkan lagi perlindungan terhadap urus niaga penipuan dan akan mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia, peniaga dan komuniti e-dompet,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial