ALOR SETAR, 16 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai M. Karupaiya, 69 meninggal dunia hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Dengan rasa penuh hiba dan dukacita saya memaklumkan bahawa saudara Karupaiya A/L Mutusami, mantan Ahli Parlimen Padang Serai merangkap calon Pakatan Harapan bagi P017 Padang Serai telah meninggal dunia hari ini.
“Kali terakhir kami bertemu adalah pada 14 Nov lepas di atas pentas ceramah di Kulim. Mendiang telah memberikan ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan pada akhir ucapan Pengerusi PH," katanya.
Saifuddin Nasution berkata mendiang ialah bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua Cabang Keadilan Padang Serai.
Katanya, jasa Karupaiya di Parlimen serta Cabang Padang Serai dan ATM akan sentiasa dikenang.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Padang Serai Datuk C. Sivaraj meluahkan rasa dukacita terhadap berita calon dan penyandang Ahli Parlimen Padang Serai itu yang meninggal dunia sebentar tadi.
Sivaraj turut meluahkan ucapan takziah beliau kepada isteri dan anak serta penyokong Karupaiya dan menyifatkan mendiang sebagai seorang bekas tentera yang telah meluangkan sebahagian hidup dalam perkhidmatan awam dan juga dunia politik.
“Saya selaku wakil MIC dan BN amat terkejut dengan berita ini. Ia satu kehilangan besar dan tidak dijangka oleh masyarakat Padang Serai. Semoga beliau tenang di sana,” kata Sivaraj.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata mendiang meninggal dunia di Hospital Kulim pada 2.27 petang tadi.
"Punca belum dapat dipastikan lagi sehingga pihak hospital melakukan bedah siasat," katanya.
Karupaiya sepatutnya akan menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sivaraj (BN-MIC), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada PRU14, Karupaiya menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial