POLITIK

PRU15: 50 peratus telah memilih, pengundian lancar setakat 1 tengah hari

19/11/2022 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Peratusan keluar mengundi di seluruh negara setakat 1 tengah hari sudah mencecah 50 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penolong Pegawai Pengurus (Logistik) Pilihan Raya bagi Parlimen Mersing, Muhammad Nur Fahmi Zulkifl berkata Pusat Pengundian Balai Raya Pulau Besar bagi kerusi itu ditutup pada 1.20 tengah hari tadi menjadikan ia pusat pengundian pertama ditutup di Johor.

Sementara itu, Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Hazani Ghazali berkata setakat ini, tiada sebarang provokasi dikesan.

“Rakyat Malaysia (mengundi) dengan berhemah dan berdisplin tinggi,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata walaupun empat pusat pengundian terkesan akibat banjir di Baram, namun proses pengundian di kawasan berkenaan tetap berjalan mengikut jadual.

Pusat mengundi yang terjejas ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang.

"Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai)," katanya kepada media semasa meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di sini hari ini.

Tenaga Nasional Berhad dalam satu kenyataan pula memaklumkan bekalan elektrik di seluruh negara stabil setakat ini dan pihaknya akan terus memantau sehingga proses penjumlahan rasmi undi yang dijangka berlanjutan sehingga tengah malam, selesai.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan