DUNIA

Jokowi lawat daerah Cianjur, angka kematian akibat gempa bumi meningkat kepada 268

22/11/2022 08:58 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 22 Nov (Bernama) -- Presiden Indonesia Joko Widodo pada Selasa melawat bandar Cugenang di daerah Cianjur, lokasi pusat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter yang mengorbankan 268 orang.

Beliau mengarahkan agensi mencari dan menyelamat untuk memindah dan mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh. 

Presiden Indonesia itu turut berikrar membantu daerah berkenaan untuk membina semula infrastruktur selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas dalam bencana pada Isnin di wilayah Jawa Barat itu.

Mangsa akan menerima maksimum 50 juta rupiah setiap seorang untuk membaiki rumah mereka yang rosak, kata Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, selepas melawat pusat perlindungan yang menempatkan ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal.

Menurut kenyataan akhbar, Jokowi meninjau kawasan yang terjejas selain bertemu dengan masyarakat tempatan.

Beliau diiringi Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy dan Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil.

Sementara itu, Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto dalam taklimat maya berkata selain 268 kematian terdapat 1,083 orang cedera dan 151 masih hilang berdasarkan data yang dikumpul setakat 5 petang waktu tempatan.

Lebih 56,362 orang ditempatkan di pusat pemindahan selepas 21,282 rumah rosak termasuk kira-kira 6,570 yang runtuh.

Kedutaan Malaysia di Jakarta dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas. 

Pusat AHA turut menawarkan bantuan kepada BNPB dan mengesahkan kesediaannya untuk menyokong pihak berkuasa.

Sistem pemantauan dan tindak balas bencana pusat itu menganggarkan 3.29 juta orang, 981,500 isi rumah dan infrastruktur bernilai US$12.2 bilion rosak akibat gempa itu, menurut AHA dalam kemas kini terkininya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan