BERITA PRU15   PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’ | 
AM

N. Sembilan bentang Belanjawan 2023 RM550 juta, hasil RM450 juta

25/11/2022 06:58 PM

SEREMBAN, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM550 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM450 juta dan belanjawan pembangunan sebanyak RM130 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Melunas Janji dan Menggalas Harapan’ itu berkata belanjawan berkenaan merangkumi sektor pembangunan sosial, pertanian, infrastruktur, kerohanian, pentadbiran dan pelancongan.

“Belanjawan 2023 yang dicadangkan ini merupakan belanjawan defisit sebanyak RM100 juta. Sungguhpun ia merupakan tahun ketiga pembentangan belanjawan secara defisit, namun dibuat secara bersasar dan masih dalam batas keupayaan rizab tunai negeri.

“Belanjawan defisit ini juga merupakan intervensi kerajaan negeri dalam merangsang ekonomi domestik berdasarkan model Input-Output yang dibangunkan,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini.

Beliau berkata hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM159.84 juta (35.52 peratus), hasil bukan cukai dianggarkan RM227.96 juta (50.66 peratus) manakala terimaan bukan hasil berjumlah RM62.20 juta (13.82 peratus).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata pencapaian prestasi kutipan hasil meningkat dengan rekod kutipan tertinggi pada 2019 berjumlah RM556.44 juta manakala kemasukan pelaburan melebihi RM5 bilion setiap tahun sejak 2019 hingga 2021.

Beliau berkata menerusi Belanjawan 2023 itu, sebanyak 64 inisiatif merangkumi 22 inisiatif baharu dan 42 inisiatif sedia ada dengan peruntukan berjumlah RM107 juta termasuk jaminan bekalan makanan iaitu RM9.05 juta dan ekonomi rakyat sebanyak RM15.7 juta.

“Sektor pendidikan diperuntukkan sebanyak RM18.68 juta, kebajikan mengekalkan tujuh inisiatif (RM2.74 juta), pemerkasaan komuniti (RM36.68 juta) serta belia dan wanita (RM6.2 juta),” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan khas kewangan sebulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada kira-kira 5,599 penjawat awam di negeri itu yang akan dibayar pada awal Januari dan minggu pertama April tahun depan.

Aminuddin berkata ia bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan penjawat awam dalam menambah baik urus tadbir kerajaan dan sentiasa komited menggalas tanggungjawab masing-masing.

“Kita hadapi tahun yang sukar sebelum ini akibat pandemik COVID-19. Sungguhpun berhadapan dengan risiko jangkitan, penjawat awam tetap tabah menunaikan amanah bagi memastikan pencapaian perkhidmatan terus berjalan demi kesejahteraan rakyat.

“Di kesempatan ini, sukacita saya umumkan kutipan hasil negeri sehingga 12 tengah hari tadi adalah berjumlah RM444 juta atau 102.78 peratus iaitu melebihi RM100 juta bagi kutipan untuk tempoh sama tahun lepas. Ini merupakan pencapaian hebat dan membanggakan. Terima kasih kepada semua,” katanya.

Terdahulu, persidangan DUN turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 selain mendoakan kesihatannya untuk terus membangunkan negara.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula hari ini hingga 1 Dis depan akan bersambung Selasa ini.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan