ISKANDAR PUTERI, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM29 juta bagi memperkasakan industri pelancongan Johor sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata menerusi jumlah berkenaan, sebanyak RM14.3 juta disediakan untuk mempergiat pelaksanaan kerja-kerja softscape dan hardscape di pintu masuk utama Johor yang sebahagian daripada ‘Agenda Greater Johor Bahru’.
Beliau berkata ini kerana pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lepas, telah memberi impak kepada peningkatan bilangan pelancong, selain merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan kegiatan ekonomi tempatan.
"Bagi penambahbaikan infrastruktur pelancongan, kerajaan negeri menyalurkan sejumlah RM8.3 juta bagi tujuan penyelenggaraan pusat-pusat pelancongan termasuk Taman Negara Johor Gunung Ledang, Muzium Sultan Abu Bakar, Diraja Johor dan Zoo Johor," katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan 2023 Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata kejayaan kerajaan negeri menganjurkan acara pelancongan antaranya Festival Majestic Johor (MJF) yang menerima anugerah Gold Award Attractive State Tourism Event, kejohanan sukan pelancongan Le’tape dan Ironman telah menjadi pemangkin kepada kehadiran pelancong ke Johor.
"Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi menganjurkan signature events di peringkat antarabangsa dan domestik yang dijangka menarik lebih 1 juta pelancong ke acara-acara pelancongan yang turut memberi limpahan kepada pemain industri pelancongan seperti perhotelan, peruncitan, makanan dan minuman (F&B) serta peniaga-peniaga kecil," katanya.
Beliau berkata sebanyak RM2.45 juta disediakan bagi tujuan pemasaran dan promosi Majestic Johor menerusi segmen-segmen pelancongan meliputi pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan serta pelancongan budaya dan warisan.
Onn Hafiz berkata sebanyak RM620,000 diperuntukkan di bawah inisiatif piawaian pelancongan Majestic Johor bagi mengekalkan kualiti perkhidmatan, kebersihan, keselamatan dan kesihatan di pusat-pusat pelancongan negeri ini.
Tambahnya, sebanyak RM500,000 disediakan bagi melaksanakan program latihan dan pembangunan kepada 1,000 pemandu pelancong sekali gus meningkatkan kapasiti tenaga kerja di sektor ini.
Sementara itu, beliau berkata beberapa lokasi pelancongan utama di Johor akan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya di kawasan hotspot jenayah dan penambahbaikan sistem pencahayaan yang akan dikelolakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.25 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial