SUKAN

Zii Jia puji persekitaran latihan ABM, terbaik di Malaysia

04/12/2022 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Pemain badminton profesional utama negara Lee Zii Jia menganggap persekitaran dan kualiti latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, kekal yang terbaik di negara ini.

Zii Jia yang kembali ke ABM selepas tujuh bulan, percaya bahawa peluang untuk berlatih di ABM akan tentunya suatu yang baik untuk semua pihak, terutamanya bagi masa hadapan acara berpasukan.

“Saya telah pun memulakan persediaan untuk musim hadapan dan antaranya dengan rasa rendah hati menerima jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk pemain persendirian berlatih di ABM,” katanya dalam hantaran di Instagram menerusi ‘teamlzj’ hari ini.

Bulan lepas BAM telah membuka pintunya untuk pemain badminton profesional untuk hadir ke sesi latihan mingguan di ABM.

Pemain berusia 24 tahun itu, kali terakhir berlatih di ABM pada April lepas untuk kem latihan berpusat bagi menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina.

Zii Jia sebelum ini mengejutkan peminat badminton Malaysia apabila berhenti daripada BAM untuk menjadi pemain profesional awal tahun ini dan sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila tidak mewakili negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Julai atas alasan membuat pesediaan kepada kejohanan dunia di Jepun.

Bercakap mengenai prestasi keseluruhan tahun ini, Zii Jia mengakui bahawa beliau masih belum berpuashati walaupun menamatkan musim ini dengan menduduki ranking kedua dunia.

“Saya perlu terus memperbaiki diri dan berterusan membuktikan keupayaan saya,” katanya.

Sementara itu Zii Jia memaklumkan bahawa beliau akan ke Taiwan untuk menyertai kem latihan yang dijadualkan dari 19 hingga 25 Dis bersama penaja utamanya, Viktor dan pemain tempatan di sana.

Zii Jia yang akan menyertai terbuka Malaysia 2023 bulan hadapan, berharap untuk mempertingkatkan lagi displin dan ketahanan fizikal dan juga mentalnya untuk musim 2023.

Pemain berasal di Kedah itu beraksi dalam 12 kejohanan individu tahun ini, namun hanya hanya memenangi dua gelaran iaitu Kejuaraan Badminton Asia di Manila dan Terbuka Thailand pada Mei, selain menduduki tempat kedua di Terbuka Denmark bulan lepas.

Beliau juga layak ke tiga separuh akhir dan satu suku akhir, selain tewas awal lima kali termasuk kekalahan 19-21, 21-11 dan 19-21 pada pusingan ketiga kepada pemain China Zhao Jun Peng di Kejohanan BWF dunia di Tokyo, Jepun pada Ogos.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan